Aug 26, 2009

WANITA UMNO DIMINTA LAKSANA KPI : ARMANI

Terbitan: 9 Ogos 2009


Ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO Sabah di peringkat bahagian dan cawangan diminta turut mengguna pakai sistem indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam usaha menambah baik gerak kerja membela rakyat di peringkat akar umbi.

Ketuanya, Senator Datuk Armani Mahiruddin berkata, KPI dilihat wajar dijadikan sebagai satu garis panduan dan amalan bagi memastikan setiap perancangan yang dirangka dapat mencapai matlamat dan tujuan.

Menurut beliau, tiba masanya semua pihak termasuk pergerakan Wanita di peringkat cawangan mempunyai satu gerak kerja yang tersusun serta bersistematik agar semua pihak mengukur kejayaan atau keberkesanan program parti.

"Kita melihat bagaimana tingginya iltizam Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memastikan perkhidmatan kerajaan terus bertambah balik dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan dan strategi.

"Begitu juga kita melihat pendekatan KPI yang diperkenalkan kepada jabatan dan agensi kerajaan termasuk kementerian-kementerian sesuatu yang amat baik untuk diterapkan kepada gerak kerja parti UMNO.

"Sehubungan itu, saya berharap kita semua dapat mengaplikasikan indeks KPI dalam setiap urusan aktiviti parti agar kita dapat mengukur keberkesanan sesuatu aktiviti dan program," katanya pada mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO bahagian Libaran di Dewan Sri Libaran, Sandakan di sini petang tadi.

Mesyuarat perwakilan dirasmikan oleh Naib Ketua UMNO bahagian Libaran, Datuk Zakaria Eddris mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Armani yang juga Ketua Wanita UMNO Libaran berkata, indeks tersebut juga perlu dipandang dalam aspek positif dan bukannya sebagai medan untuk mencari kelemahan dan kesalahan mana-mana pihak.

Ini kerana katanya, sesuatu indeks KPI yang rendah akan boleh dibaiki dan ditambah baik pada masa akan datang dan tentu sekali faedah dan kebaikannya akan kembali kepada ahli UMNO dan rakyat yang menyokong parti.

Sehubungan itu katanya, setiap anggota parti tidak perlu berasa takut dengan indeks tersebut kerana diyakini mampu mengukuhkan lagi daya saing dan sokongan rakyat bagi tempoh jangka panjang.

"Kita dalam isu ini tidak mahu ahli-ahli khususnya pemimpin masyarakat berasa selesa dengan kedudukan UMNO sebagai parti memerintah. Sekurang-kurangnya indeks KPI dapat menjadi pengawas atau check and balance kepada UMNO itu sendiri.

"Apabila ada ukuran maka kita tentu sekali akan berusaha atau bekerja lebih keras. Mana-mana pemimpin juga nanti boleh dinilai dengan lebih mudah oleh para perwakilan pada musim pemilihan," katanya.

Tambah beliau, semua itu tentu sekali menjurus kepada usaha mendekati rakyat dengan lebih kerap termasuk mendengar dan mengambil tahu apa masalah yang berlaku di peringkat akar umbi.

Katanya, tanpa usaha mendekati rakyat dengan berkesan boleh menyebabkan parti UMNO ditolak terutama apabila tiba musim pilihan raya.

"Ingatlah rakyat hari ini tidak lagi mudah digula-gulakan begitu sahaja apabila menjelang pilihan raya, mereka sudah pandai menilai siapa wakil rakyat dan parti mana yang bekerja untuk rakyat.

"Oleh itu, setiap ahli pergerakan Wanita yang ada hari ini diingat agar jangan mengambil mudah aspek bekerja atau berkhidmat untuk rakyat dan indeks KPI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri perlu dijadikan sebagai alat atau platform terbaik untuk terus menjadikan UMNO terus kekal cemerlang dan gemilang," katanya.

Dalam majlis itu, Wanita UMNO Libaran turut meraikan enam pelajar cemerlang dalam PMR dan SPM 2008 lalu dengan memberikan sijil penghargaaan dan sumbangan wang.

No comments:

Post a Comment