SEPANJANG usia perjalanan Malaysia 52 tahun, wanita di Negara ini sudah meniti pelbagai onak dan duri, menjadikan golongan wanita kini kian matang dan berani untuk bersuara. Untuk merencanakan apa perbezaan peranan wanita dahulu dan sekarang…ianya masih sama, masih menggalas tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan anak. Namun, kini tanggungjawab itu semakin besar hingga melingkari luar dari konteks keluarga malah wanita hari ini turut sama memberi sumbangan kepada pembangunan Negara yang berhadapan dengan dunia globalisasi.
Peranan wanita negara hari ini semakin menyerlah. Mereka semakin berani menampil dan menceburkan diri dalam bidang-bidang dan aktiviti hidup yang lebih mencabar dan lebih sofistikated. Mereka sudah mula berfikir jauh ke hadapan, mula mengorak langkah untuk sama-sama mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Jika pada satu ketika dahulu, dinyatakan bahawa tempat wanita adalah di rumah dan bertanggungjawab hanya untuk memelihara dan menjaga keluarga, akan tetapi keadaan ini sudahpun mengalami perubahan. Wanita ingin berganding bahu dengan kaum lelaki dalam sama-sama menghadapi liku-liku hidup dan bersama memikul beban yang lebih berat dalam memainkan peranan mereka untuk keluarga dan juga masyarakat.
Mungkin dari konteks perjuangan dahulu, ianya amat perit untuk dibayangkan. Siapa yang tidak kenal dengan Puan Sri Datin Hajah Putih Mariah Ibrahim Rashid, Ibu Zain, Khatijah Sidek serta ramai lagi pejuang dan aktivitis terdahulu.Wanita-wanita berjiwa besar seperti ini antara pelopor untuk wanita bersuara lantang, berani berjuang walau diancam nyawa di hujung tanduk…namun semangat memperjuangkan kemerdekaan, hak pribumi Melayu dan membela nasib wanita tidak pernah luntur di jiwa mereka. Nama-nama inilah yang telah menyermarakkan semangat juang penduduk tanah Melayu pada ketika itu
Suara lantang wanita-wanita berjiwa besar ini mengambarkan betapa tingginya tekad wanita untuk sebagai nadi, sumber dan katalis mencapai kemajuan. Barangkali benar sungguh kata-kata yang menyebut "Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncangkan dunia" yang memberikan gambaran kehebatan seorang wanita.
Sesungguhnya, wanita ialah modal insan yang amat penting bagi pembinaan keluarga bahagia dan pembangunan sesebuah negara. Jika wanita dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran, mereka boleh menyumbang kepada arus perdana kehidupan dan memberi sumbangan bermakna dalam proses pembangunan sesebuah negara.
Setelah 52 tahun berlalu, wanita di Malaysia sudah mencecah 13.4 juta orang. Kira-kira 7.4 juta wanita yang berada dalam kategori umur bekerja. Daripada jumlah itu pula, kira-kira 3.45 juta wanita atau 46.7 peratus bekerja dan selebihnya berada di luar pasaran pekerjaan iaitu kira-kira 3.95 juta. Daripada 3.95 juta, kira-kira 2.86 juta atau 72.4 peratus adalah suri rumah tangga. Wanita merupakan 16 peratus atau kira-kira 887 ribu ketua isi rumah daripada 5.7 juta ketua isi rumah di negara ini. Dalam konteks pendidikan pula, wanita sudah memonopoli 65 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar berbanding lelaki, dan dalam bidang pengurusan dan profesional wanita sudah memegang 52 peratus berbanding lelaki. Ia sudah jelas menunjukkan wanita Malaysia sudah bangkit dan sedar akan tanggungjawab masing-masing.
Keadaan itu jelas menunjukkan wanita kini sudah berjaya merintangi pelbagai cabaran semakin ligat melopori bidang pekerjaan terutama dalam bidang korporat dan keusahawanan di Malaysia. Kesungguhan penglibatan kaum wanita dalam pelbagai sektor di negara ini telah terbukti dengan pencapaian yang membanggakan baik dalam ekonomi, pendidikan, sains, politik dan agama. Apa yang lebih membanggakan penglibatan mereka itu tidak menjejaskan tugas hakiki sebagai isteri yang bijak menguruskan rumahtangga juga ibu kepada anak-anak yang bertanggungjawab membimbing dan menyerapkan nilai-nilai kehidupan yang baik. Wanita telah berusaha bersungguh-sungguh melakukan tugas-tugas yang diamanahkan sebagai ibu yang melahirkan, isteri yang menguruskan suami serta kerjaya yang menuntut ilmu dan kemahiran.
Sebagai seorang wanita, saya cukup berbangga wanita Negara ini sudah mampu mencipta nama dalam pelbagai bidang bukan saja dalam Negara malah berjaya menjulang nama ke peringkat antarabangsa. Wanita hari ini usaha bergerak dengan denyut nadi yang berkobar-kobar dan tidak mudah dipatahkan lagi. Semua ini atas keutuhan dan keberanian yang telah ditumpahkan oleh generasi terdahulu.
Menerusi Dasar Wanita Negara 2009 yang dilancarkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada majlis pelancaran sempena menyambut Hari Wanita baru-baru ini, memberi nafas baru kepada perjuangan wanita di Malaysia. Usaha Kerajaan ke arah mengarusperdanakan wanita Malaysia dengan cara lebih bermakna dalam pembangunan Negara harus disambut baik oleh semua wanita di Negara ini.
Kita berbangga dan menyanjung tinggi pengiktirafan kerajaan menerusi penganjuran sambutan Hari Wanita setiap tahun. Sambutan ini merupakan detik bersejarah bagi kemajuan wanita dan peristiwa penting terutamanya dalam konteks perjuangan kaum wanita di seluruh dunia dalam usaha mendapatkan persamaan hak, kesaksamaan, keamanan dan kemajuan dalam kehidupan yang dikongsi bersama dengan kaum lelaki.
Sementara kita di Sabah, pengiktirafan serupa turut diberikan oleh kerajaan negeri menerusi penubuhan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) yang antara lain berperanan memela nasib golongan hawa.
Dalam mengharungi cabaran mendatang, saya merasakan setiap wanita perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi segala bentuk cabaran bagi membolehkan mereka memberi sumbangan bakti dan berupaya memainkan peranan seperti mana yang diharapkan oleh kerajaan dan juga masyarakat. Tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan dan sokongan wanita begitu diperlukan dalam membangunkan masyarakat dan ekonomi negara.
Keperluan ini terbukti melalui pelbagai bentuk peranan yang telah disumbangkan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Penglibatan wanita dalam perancangan dan pelaksanaan program pembangunan negara telah dizahirkan melalui galakan oleh Kerajaan supaya mereka tidak bergerak secara bersendirian, tetapi sebagai satu pasukan, pertubuhan ataupun persatuan sosial. Tujuannya adalah ke arah permuafakatan sebagai usaha menggemblengkan tenaga dan minda wanita secara sistematik dan lebih berkesan.
SATU WANITA....maju ke hadapan, itulah harapan saya. Golongan wanita harus sentiasa bersedia untuk memperlengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran termasuk teknologi maklumat (IT) untuk menghadapi cabaran dunia globalisasi. Kepada generasi wanita hari ini dan akan datang, ingatlah kepada perjuangan terdahulu.. walau sehebat mana pun usaha kita membangunkan negara, ingatlah bagaimana ianya bermula.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment