Jul 20, 2010

Majlis Sayang Bawa Keceriaan Kepada 200 Ibu Tunggal, Balu dan Fakir

BERSEMPENA menyambut bulan Ramadan yang lalu, Pergerakan Wanita UMNO Sabah buat julung kalinya telah mengadakan Majlis Sayang dan Berbuka Puasa bersama 200 orang ibu tunggal, balu dan fakir di lapan kawasan parlimen di negeri ini, iaitu Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Kimanis.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, dan telah berlangsung di Kompleks Tabung Haji Sembulan.

Dalam majlis anjuran bersama Pusat Zakat Sabah (PZS), sebanyak RM200,000 sumbangan zakat telah diserahkan kepada 200 ibu tunggal, balu dan fakir miskin beserta dengan hamper berupa barangan makanan.

Ketua Pergerarakan Wanita Sabah yang juga Ketua Wanita Bahagian Libaran, YB Senator Datuk Armani Mahiruddin berkata dalam ucapannya, majlis ‘Sayang’ merupakan satu program amal buat pertama kalinya diadakan oleh pergerakan itu untuk mendekati masyarakat khususnya golongan wanita yang memerlukan termasuk balu dan golongan fakir.

Jelas beliau, program seumpama ini mampu membangunkan semangat muhibbah di kalangan umat Islam tanpa mengenal bangsa, kaum dan status selari dengan aspirasi dan gagasan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 1 Malaysia sebagai landasan kepada kesejahteraan bersama.

“Secara tidak langsung, ia mencerminkan usaha Kerajaan BN mengeratkan hubungan silaturrahim sesama Islam.

“Program ‘Sayang’ cuba memupuk kasih sayang sesama masyarakat. Dengan beramal jariah, pasti akan tumbuh kasih dan sayang seterusnya membentuk keharmonian bersama,” katanya sambil memberitahu PZS tahun ini telah memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta bantuan untuk diagih-agihkan kepada golongan asnaf, fakir, miskin dan mualaf sebagai persiapan menyambut Syawal.