Sep 21, 2010

Mencipta Kenangan Terindah Bersama Kanak-Kanak Istimewa

KEDATANGAN Ramadan Al-Mubarak memberi penuh keinsafan buat kita untuk menginsafi setiap apa yang dilakukan dan memperbanyakkan amal jariah. Amalan bersedekah, membantu mereka yang memerlukan adalah satu tradisi yang dilakukan apabila tibanya Ramadan.

Di kesempatan itu, sempena Ramadan Pergerakan Wanita Umno Sabah tidak melepaskan peluang melawat kanak-kanak Kurang Upaya (OKU) di Taman Didikan Kanak-Kanak Kota Kinabalu yang terletak di Sembulan. Majlis ringkas pada 16 Ogos itu disambut sederhana dan meriah dengan hadiran kanak-kanak istimewa ini ditemani kakitangan taman didikan berkenaan.
Taman didikan yang telah diangkat sebagai Taman Didikan angkat kepada Wanita UMNO Sabah ini memberi seribu keinsafan buat yang hadir. Hiba, Sayu dan Terhibur dengan gelagat manja kanak-kanak ini benar-benar mencuit rasa hati.

Rawan meninggalkan teratak ini, mengingatkan bilakah lagi kaki ini melangkah menjenguk mereka dalam batas waktu dan tugas pada masa akan datang. Semoga rezeki yang dikurniakan akan dirahmati dan dilipat-gandakan lagi oleh yang Maha Berkuasa.

Aug 12, 2010

Wanita UMNO Dekati Rakyat Sempena Ramadan: Armani

PERGERAKAN Wanita UMNO Sabah mengaturkan pelbagai program kebajikan dan mendekati golongan yang tidak berkemampuan sebagai pengisian sepanjang bulan ramadhan.
Ketua pergerakan itu, Senator Datuk Armani Haji Mahiruddin, berkata program kebajikan sempena Ramadan itu akan diteruskan ke peringkat bahagian agar matlamat Wanita UMNO dalam menjadi nadi rakyat menjadi kenyataan.
“Antara program yang telah disusun atur termasuklah mengadakan lawatan dan mengagihkan kuih raya kepada pesakit-pesakit wad bersalin Hospital Ibu dan Anak Likas, melawat dan menyerahkan baju raya kepada anak angkat kanak-kanak Kurang Upaya di Sembulan dan mengangihkan kuih raya kepada anggota unit beruniform seperti polis dan tentera.
“Di samping itu, kita juga akan mengikuti rombongan Ketua Menteri berbuka puasa ke setiap zon di seluruh negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusi Mesyuarat Ahli jawantakuasa Wanita UMNO Negeri Sabah, di Bangunan UMNO, di sini kelmarin.
Turut hadir, Naibnya, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd Dun, Penolong Setiausaha, Datuk Jainab Ahmad dan Bendahari, Manis Buka Haji Mohd Dara.
Armani yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara, berkata kedatangan bulan Ramadan ini harus dijadikan kesempatan untuk berbuat amal ibadah dan merapatkan ikatan silaturrahim sesama manusia.
Turut diadakan sempena mesyuarat berkenaan, majlis penyerahan kenderaan Skuad Sayang Wanita UMNO Negeri kepada wakil zon iaitu, Ketua Wanita UMNO Tuaran, Jamaliah Antalip bagi zon 1, Ketua Wanita Putatan bagi zon 2, Ketua Wanita UMNO Beaufort, Datuk Azizah Haji Mohd Dun bagi zon 3, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pensiangan bagi zon 4, Puan Asnah Haji Tahlil bagi zon 5 dan Manis Buka Mohd Dara bagi zon 6.
Armani menyeru kepada semua ahlinya agar memperbanyakkan program mendekati rakyat dalam usaha menjadikan Wanita UMNO terus kekal menjadi nadi rakyat.
“Saya menyeru agar semua Wanita UMNO di negeri ini agar membuat perubahan paradigma dalam soal pengurusan dan aktiviti.
“Ia haruslah mencakupi gerak kerja yang tersusun, dan melibatkan semua wanita umno di setiap akar umbi.
Jelas beliau, dengan adanya kemudahan pengangkutan Skuad Sayang itu, dapat memudahkan anggota Wanita UMNO merancakkan lagi kerja-kerja kebajikan meliputi semua ceruk bahagian di negeri ini.
“Ini akan menjadikan Wanita UMNO sebagai nadi perubahan dan kejayaan dalam era kepimpinan kini,” katanya juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Libaran.

Jul 20, 2010

Jalinan Rakyat & Skuad Sayang Pemangkin Kekuatan Wanita UMNO

BUAT julung kalinya, Pergerakan Wanita UMNO Sabah melancarkan program Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang peringkat Negeri Sabah pada 6 Jun lepas di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Pelancaran itu dijadikan platform untuk meningkatkan gerak kerja mendekati rakyat di semua Bahagian dan Cawangan peringkat akar umbi. Pelancaran dengan kerjasama Wanita Barisan Nasional, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Ketika berucap melancarkan program berkenaan, Musa menyeru kepada semua Ketua UMNO Bahagian di negeri Sabah agar membantu Wanita UMNO menggerak Bancian Sikap pengundi bagi mengesan dan menyelesaikan isu rakyat dalam misi menawan semua 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 25 Parlimen pada Pilihan Raya UMUM ke-13.

Katanya, program itu antara lain bertujuan untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan dan salah satu alternatif untuk orang ramai menyertai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah, YB Senator Datuk Armani Haji Mahiruddin, berkata Program Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang itu mencerminkan komitmen jitu Wanita UMNO untuk terus menggalas tugas sebagai sebuah sayap penting bagi menentukan kemenangan Barisan Nasional dari dahulu sehinggalah kini.

Jelas beliau, gerak kerja itu juga dijadikan sebagai manifesto untuk mendekati rakyat sekali gus mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di peringkat Bahagian mahupun Cawangan.

Oleh itu, beliau menyeru kepada ahlinya di semua peringkat akar umbi agar menggunapakai Sistem Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam usaha menambah baik gerak kerja Jalinan Rakyat ini. Demikian juga dalam Pasukan Skuad Sayang pula, Armani menyeru agar skuad kebajikan itu ditubuhkan di setiap Bahagian dan Cawangan. Projek ini merupakan jenama baru Wanita Barisan Nasional yang diilhamkan oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil bagi melaksanakan kerja-keraja kebajikan, kesukarelaaan sebagai menepati hasrat parti serta memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam acara pelancaran itu, turut diadakan pelancaran 10 buah kenderaan yang akan digunakan oleh Skuad Sayang Bahagian-b ahagian Negeri Sabah yang diagihkan mengikut zon, hasil sumbangan daripada Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB), Kumpulan Yayasan Sabah dan Angkatan Hebat.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk Senamrobik 1Malaysia bersama Ketua Menteri dan tetamu kehormat, cabutan pengunjung bertuah, gerai pameran dari Wanita UMNO Bahagian, daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Jalinan Rakyat, pameran lebih dari 20 agensi kerajaan negeri dan persekutuan.



Skuad Sayang, satu lagi projek Wanita UMNO bantu rakyat

MEMBUKA tirai tahun 2010, Wanita UMNO Sabah melangkah setapak mentranformasikan agenda parti mendekati rakyat menerusi satu lagi projek, Skuad Sayang yang diperkenalkan oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil. Pendekatan ini merupakan satu lagi usaha kebajikan UMNO sebagai tanda keperihatinan terhadap isu-isu dan permasalahan rakyat. Langkah ini juga memupuk nilai-nilai murni serta kasih sayang di segenap lapisan masyarakat. Tindakan proaktif skuad sayang telah berjaya meringankan beban malah mendapat penerimaan pihak yang terlibat. Sejak dilancarkan di peringkat kebangsaan, Skuad Sayang Wanita UMNO Sabah terus melaksanakan tugas ‘turun padang’ ke setiap ceruk kampung yang dilanda bencana alam.

Pada 31 Januari 2010, Skuad Sayang Wanita UMNO Sabah telah ‘turun padang’ melawat mangsa banjir di Kampung Marudu Laut, Kota Marudu yang diketuai oleh YB Senator Datuk Armani Haji Mahiruddin. Dalam lawatan itu, Skuad Sayang menyampaikan 50 kampit beras dan keperluan makanan asas kepada 50 keluarga mangsa banjir di kampung berkenaan. Dalam kesempatan itu, Skuad Sayang turut melawat sebuah keluarga daif yang mempunyai lima orang anak, Rohaya Karnawi, 50 tahun, seorang yang cacat anggota dari kampung berkenaan.


Turut serta dalam lawatan berkenaan, Penolong Pesuruhjaya Skuad Sayang Wanita UMNO Sabah, YB Datuk Hajah Jainab Datuk S.P Haji Ahmad, Komandan Skuad Sayang Negeri Sabah, Juriah Palasin dan Pesuruhjaya Bahagian Kota Marudu, Tinah Majawan.





Tugas itu diteruskan ke Kampung Seri Pandan Putatan apabila lebih 100 buah keluarga terlibat dalam satu kebakaran pada kejadian 27 Februari 2010. Skuad Sayang Wanita UMNO Negeri mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan 300 kampit beras kepada mangsa. Lawatan itu diketuai oleh YB Datuk Hajah Jainab Datuk S.P Haji Ahmad dan disertai oleh Pesuruhjaya Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Putatan, Hajah Normah Haji Mohd Sari dan Komandan Skuad Sayang Wanita UMNO Negeri, Juriah Palasin.
Seterusnya, Skuad Sayang yang sama juga ke Kampung Malugus Papar menjejak sebuah keluarga, seramai 16 orang yang terlibat dalam satu kebakaran. Lawatan pada 9 Mei lepas itu turut disertai oleh agensi swasta iaitu Syarikat BTC Sdn Bhd. Sumbangan berupa barangan keperluan asas, tilam, bantal dan selimut. Turut serta dalam lawatan itu, Pesuruhjaya Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Putatan, Hajah Normah Haji Mohd Sari dan Pesurujaya Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Papar, Datin Hajah Dk Ainun Haji Pg Bagul.

Usaha murni itu diteruskan ke peringkat Bahagian dan Cawangan dalam merealisasikan hasrat merai sokongan rakyat di seluruh negeri ini berpihak kepada Barisan Nasional khususnya parti UMNO.






75 pemimpin Wanita UMNO Sabah sertai kurus penceramah

KIRA-kira 75 orang Ketua Penerangan dan Setiausaha Wanita UMNO Sabah menyertai Kursus Penceramah anjuran Sekretariat Penerangan dan Komunikasi Wanita UMNO Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas Sabah (JASA), pada 24-28 Februari bertempat di Hotel Beverly, Kota Kinabalu. Kursus empat hari itu telah dirasmikan oleh Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad, sementara penutupan pula disempurnakan oleh Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Hamidah Othman. Program penceramah itu antara lain bertujuan untuk melahirkan generasi Wanita UMNO yang bijak dalam bidang pengucapan awam, ilmu pembujukan dan teknik-teknik berceramah dengan betul di hadapan orang ramai.

Program Sayang Membeli Belah ‘Kembali Ke Sekolah’ Bersama Kanak-kanak Insan Pilihan


SEMPENA permulaan persekolah awal Januari ini (2010), Pergerakan Wanita UMNO Sabah akan menganjurkan Program Sayang Membeli Belah ‘Kembali Ke Sekolah’ bersama 300 anak-anak Insan Pilihan di Pasaraya Giant, 1Borneo Hypermall, pada 31 Disember lepas (2009). Program anjuran bersama Pusat Zakat Negeri Sabah itu telah disempurnakan oleh Datin Seri Panglima Faridah Haji Tusin, Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua BAKISA.


Seramai 300 orang kanak-kanak yatim piatu daripada zon terdekat iaitu Kudat, Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Ranau dan Pensiangan menjadi insan terpilih untuk menerima sumbangan dan berbelanja persediaan barangan sekolah di Pasaraya Giant (1Borneo) sebanyak RM200 setiap seorang. Daripada jumlah itu, seramai 18 orang kanak-kanak daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu LDP, PBRS, MIC dan PBS dan 20 orang lagi kanak-kanak daripada KEMAS. Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah, YB Senator Datuk Armani Haji Mahiruddin, berkata program berkenaan bertujuan bukan saja untuk membantu meringankan beban kanak-kanak ini, malah ia berperanan penting bagi memastikan pelapis masa depan Negara ini tidak terabai dari segi pendidikan dan sahsiah pembentukan jati diri ke arah melahirkan generasi pelapis yang cemerlang. “Namun, lebih bermakna lagi program itu dapat memberi keriangan buat mereka yang kurang bernasib baik,” katanya. Ketika berucap, beliau menyeru kepada ibu bapa dan individu masyarakat agar melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berguna. “Oleh itu, diingatkan kepada ibu bapa, untuk turut sama melibatkan diri dalam usaha kerajaan membentuk kanak-kanak pintar dan pelajar cemerlang, serta anggota masyarakat agar hidup kanak-kanak ini bermula dengan terbaik, ingatlah pembelajaran yang sihat tercipta dari persekitaran yang sihat,” jelas beliau.

Majlis Sayang Bawa Keceriaan Kepada 200 Ibu Tunggal, Balu dan Fakir

BERSEMPENA menyambut bulan Ramadan yang lalu, Pergerakan Wanita UMNO Sabah buat julung kalinya telah mengadakan Majlis Sayang dan Berbuka Puasa bersama 200 orang ibu tunggal, balu dan fakir di lapan kawasan parlimen di negeri ini, iaitu Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Kimanis.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, dan telah berlangsung di Kompleks Tabung Haji Sembulan.

Dalam majlis anjuran bersama Pusat Zakat Sabah (PZS), sebanyak RM200,000 sumbangan zakat telah diserahkan kepada 200 ibu tunggal, balu dan fakir miskin beserta dengan hamper berupa barangan makanan.

Ketua Pergerarakan Wanita Sabah yang juga Ketua Wanita Bahagian Libaran, YB Senator Datuk Armani Mahiruddin berkata dalam ucapannya, majlis ‘Sayang’ merupakan satu program amal buat pertama kalinya diadakan oleh pergerakan itu untuk mendekati masyarakat khususnya golongan wanita yang memerlukan termasuk balu dan golongan fakir.

Jelas beliau, program seumpama ini mampu membangunkan semangat muhibbah di kalangan umat Islam tanpa mengenal bangsa, kaum dan status selari dengan aspirasi dan gagasan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 1 Malaysia sebagai landasan kepada kesejahteraan bersama.

“Secara tidak langsung, ia mencerminkan usaha Kerajaan BN mengeratkan hubungan silaturrahim sesama Islam.

“Program ‘Sayang’ cuba memupuk kasih sayang sesama masyarakat. Dengan beramal jariah, pasti akan tumbuh kasih dan sayang seterusnya membentuk keharmonian bersama,” katanya sambil memberitahu PZS tahun ini telah memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta bantuan untuk diagih-agihkan kepada golongan asnaf, fakir, miskin dan mualaf sebagai persiapan menyambut Syawal.